SYARAHAN
Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berusaha Encik Badrunsham bin Dahalan; Pegawai Pendidikan Daerah Alor
Setar, Yang Arif panel hakim yang bijaksana, guru-guru, para pelajar dan
hadirin sekalian. Pada pagi ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk
“Malaysia Destinasi Pelancongan”.
Malaysia merupakan sebuah negara
yang menjadi sebutan dalam dunia pelancongan. Masyarakat dunia mengagumi
keunikan dan keistimewaan negara ini. Malaysia juga terkenal
dengan destinasi hub halal dan menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat,
Timur Tengah dan Asia Tenggara. Malaysia mempunyai pelbagai jenis industri
pelancongan yang boleh dikomersialkan. Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan
dan Kebudayaan Malaysia telah menaik taraf pelancongan yang berorientasikan
kebudayaan, kesihatan, sukan dan rekreasi untuk menarik lebih ramai kemasukan
pelancong dari luar negara. Persoalannya, apakah faktor-faktor Malaysia menjadi
destinasi pelancongan?
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Malaysia menjadi destinasi
pelancongan kerana Malaysia mempunyai tempat yang menarik untuk dikunjungi. Kebiasaanya, pelancong sering berkunjung ke pulau-pulau percutian seperti Pulau Kapas,
Pulau Tioman dan Pulau Redang. Keindahan dan kedamaian pulau-pulau tersebut
memberi ketenangan kepada pelancong. Sebagai contoh, Pulau Kapas di Terengganu
mempunyai pantai yang sangat cantik. Air lautnya jernih dan pasirnya berwarna
putih seperti kapas dan mempunyai pelbagai hidupan laut. Pelancong tertarik
untuk ke Pulau Kapas kerana mereka ingin keluar dari kesibukan dan hiruk-pikuk
kotaraya. Para pelancong juga selesa untuk membawa anak-anak kerana terdapat
aktiviti sukan seperti menyelam dan berkayak yang boleh dilakukan bersama ahli
keluarga.
Selain itu, keunikan rakyat
Malaysia yang berbilang kaum merupakan salah satu faktor Malaysia menjadi
destinasi pelancongan. Malaysia mempunyai pelbagai kaum seperti Melayu, Cina,
India dan bumiputera lain yang wujud di Sabah dan Sarawak. Namun, perbezaan
amalan keagamaan, pakaian, makanan mahupun cara berhibur tidak menjadi
penghalang untuk semua kaum hidup dengan harmoni. Misalnya,
masyarakat Melayu biasanya terkenal dengan pakaian tradisional baju kurung dan
kaum-kaum yang lain boleh memakainya jika mereka mahu.. Keadaan ini menunjukkan
kepelbagaian
kita berjaya menyatukan kita untuk menerima budaya dan amalan kaum yang lain. Jadi,
sikap rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati setiap kaum menjadikan
Malaysia istimewa di mata para pelancong.
Seterusnya, faktor Malaysia
menjadi destinasi pelancongan termasuklah Malaysia mempunyai pelbagai
prasarana. Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi
membangunkan kemudahan demi keselesaan para pelancong. Kerajaan sedar bahawa
pelaburan dalam industri pelancongan dapat memberikan keuntungan kepada ekonomi
negara. Kerajaan telah membina jaringan lebuh raya dan dan rel seperti sistem
transit aliran ringan, komuter dan monorel bagi memudahkan mobiliti para
pelancong. Pelancong dapat mengunjungi tempat-tempat menarik di dalam Malaysia
dengan lebih mudah dan menjimatkan masa. Manakala kerajaan juga menyediakan
kemudahan hentian Rehat dan Rawat untuk kemudahan pelancong berhenti rehat
sepanjang percutian mereka.
Keramahan dan kemesraan rakyat
negara ini turut menyumbang kepada faktor-faktor Malaysia sebagai destinasi
pelancongan. Pelancong dapat merasai kemesraan rakyat terutamanya dari segi
layanan dan perkhidmatan. Masyarakat
memberikan layanan yang sama tanpa mengira pelancong asing atau pelancong
tempatan. Sebagai contoh, pekerja hotel menolong pelancong jika mereka
menghadapi masalah dari aspek pengangkutan. Pekerja hotel bersikap sabar dan
bertindak menyelesaian masalah pengangkutan dengan segera supaya pelancong
dapat menikmati percutiannya. Tambahan pula, sikap pramugara dan pramugari syarikat
penerbangan menunjukkan impresi pertama kemesraan rakyat sesebuah negara kepada
pelancong. Jelaslah bahawa sikap masyarakat yang ramah dan mesra telah mendorong
kedatangan pelancong untuk berkunjung ke Malaysia.
Kesimpulannya, faktor Malaysia mempunyai
tempat menarik untuk dikunjungi di samping faktor-faktor lain ternyata menjadi
penyumbang kepada Malaysia menjadi destinasi pelancongan. Para pelancong bersetuju
bahawa Malaysia perlu dimasukkan dalam jadual pelancongan mereka. Oleh itu,
pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan hendaklah bekerjasama bagi memelihara
semua daya tarikan dalam negara. Kita berharap kedatangan pelancong asing ke
negara kita semakin bertambah dari tahun ke tahun. Peniaga-peniaga di negara
ini juga hendaklah jujur dalam urusan jual beli. Mereka dilarang mengambil
kesempatan dengan mengenakan harga yang lebih mahal kepada pelancong. Semoga
melalui keprihatinan dan sikap penduduk Malaysia yang baik, nama Malaysia akan
menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk dikunjungi.
Sekian, terima kasih.
Numpang promo ya Admin^^ (f)
ReplyDeleteingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
ayo segera bergabung dengan kami di ionpk.biz ^_$
add Whatshapp : +85515373217 || ditunggu ya^^ x-)