Saturday 1 September 2018

Orang Kelainan Upaya (OKU)

Esei Bahasa Melayu


            Orang Kelainan Upaya atau OKU termasuklah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal dan mental apabila berhadapan halangan.  Ada yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan. Pelbagai usaha dilakukan golongan kelainan upaya untuk mendapat pekerjaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

             Cabaran yang dihadapi golongan kelainan upaya termasuklah pihak majikan mengamalkan dasar pilih kasih semasa mengambil pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat. Golongan kurang berupaya dianggap kurang produktif kerana kecacatan mereka.  Misalnya, mereka memerlukan sejam untuk menyiapkan sesebuah tugas manakala manusia normal memerlukan 30 minit. Majikan tidak mengambil OKU kerana mereka dilihat tidak meyumbang kepada keuntungan syarikat.

          Golongan kelainan upaya menghadapi cabaran kerana masyarakat tidak prihatin untuk membantu mereka mendapat pekerjaan. Mereka dipinggirkan oleh masyarakat berikutan mereka ialah kumpulan minoriti. Masyarakat tidak memberitahu bahawa OKU layak menerima keistimewaan yang ditawarkan pihak kerajaan. Misalnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh membantu OKU mencari pekerjaan atau memberikan modal untuk memulakan perniagaan.

              Usaha yang boleh dilakukan oleh orang kelainan upaya untuk membina kerjaya termasuklah mereka hendaklah mempelajari kemahiran tambahan.  Selain pencapaian dalam bidang akademik, kemahiran tambahan dapat menarik minat pihak majikan untuk mengupah mereka.  Kolej Vokasional dan Kolej Komuniti menawarkan kursus untuk golongan ini. Golongan kelainan upaya dapat mendaftarkan diri mereka untuk program-program seperti menjahit, kulinari, pastry dan landskap.  Setelah menamatkan kursus tersebut, mereka menerima Sijil Kemahiran Khas untuk  dikemukan semasa meminta kerja.

             Selain itu, golongan kelainan upaya  dapat membina kerjaya dengan memohon untuk bekerja di tempat yang sesuai dengan keadaan fizikal mereka. Golongan kelainan upaya hendaklah mengambil kira persekitaran tempat kerja supaya mereka dapat melaksanakan tugas tanpa membahayakan diri. Tahap kesihatan mereka telah membataskan mereka daripada melakukan kerja-kerja berat. Pekerjaan sepeti pegawai khidmat pelanggan dan kerani sesuai kerana  mereka tidak perlu mengangkat barang.

               Di samping itu, golongan ini dapat membina kerjaya seperti manusia normal dengan melakukan bisnes dari rumah. Hal ini demikian kerana, mereka terpaksa bergantung kepada seseorang untuk membawa mereka berulang-alik antara rumah dengan tempat bekerja. Maka, perniagaan atas talian ialah jalan yang paling mudah.  

                 Kesimpulannya, golongan OKU memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan dan memperoleh pekerjaan.  Kerajaan dan pihak swasta hendaklah menyediakan kuota bagi golongan OKU diambil bekerja agar mereka tidak berasa dipinggirkan.