Tuesday 9 October 2018

ALAM SEKITAR (ESEI BM)


   CERAMAH
            
                Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Yang dihormati Tuan Jalaini bin Omar, Pengerusi Jabatan Alam Sekitar Kedah; Encik Kasim bin Salleh, ketua penghulu Kampung Borhan, sukarelawan-sukarelawan Kampung Borhan serta tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini. Alam sekitar mempunyai haknya yang tersendiri di samping manusia dan haiwan.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

              Alam sekitar bermaksud kawasan di sekeliling kita yang berlaku secara semulajadi. Pada masa sekarang, alam sekitar diancam oleh kepesatan pembangunan. Pertambahan penduduk mendesak penebangan dilakukan kerana pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan. Mantan Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa kesedaran orang ramai masih belum memuaskan kerana aktiviti pembangunan dijalankan tidak seiring dengan usaha melestarikan alam sekitar. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk menjaga alam sekitar di negara ini?

              Salah satu  usaha bagi menjaga alam sekitar termasuklah masyarakat berperanan menjaga kebersihan rumah sendiri. Pembersihan rumah akan lebih baik jika dilakukan secara rutin oleh anggota keluarga. Misalnya, ada anggota keluarga ditugaskan mengutip dan membuang daun-daun kering yang berguguran di sekeliling kawasan rumah pada setiap hujung minggu. Tindakan tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan parit-parit daripada tersumbat dan banjir dapat dihindarkan. Manakala sebahagian ahli keluarga yang lain bertanggungjawab menyapu sampah dan mengelap tingkap. Oleh itu, amalan membersihan rumah sendiri dapat menyumbang kepada usaha-usaha untuk menjaga alam sekitar.

                Di samping itu, kita perlulah mengadakan aktiviti riadah yang bersifat mesra alam. Aktiviti  berbasikal, berjoging , bermain bola dan  badminton merupakan antara aktiviti sukan yang dilakukan di luar rumah. Aktiviti-aktiviti di luar rumah mampu mendekatkan jiwa seseorang dengan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita dapat beriadah sambil menikmati pemandangan alam sekitar yang menenangkan. Kita akan semakin menyayangi alam sekitar dan terdorong untuk memeliharanya daripada tercemar. Di taman permainan, kita boleh membantu mengutip cebisan sampah dan botol plastik  walaupun sedang berjoging. Jelaslah bahawa penjagaan alam sekitar dapat dilakukan melalui aktiviti riadah yang bersifat mesra alam.

Hadirin dan hadirat,

                    Seterusnya, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak supaya sentiasa mengamalkan kebersihan. Didikan ibu bapa yang berkesan akan menjadi amalan anak-anak sehingga mereka dewasa kelak. Sebagai contoh,  ibu bapa haruslah mengajar anak-anak untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Pengajaran tersebut perlulah disertakan dengan penjelasan oleh ibu bapa. Ibu bapa boleh menjelaskan bahawa tindakan membuang sampah merata-rata akan mengakibatkan timbunan sampah sarap yang akhirnya mencemarkan alam sekitar. Didikan yang berkesan akan menyuntik kesedaran kepada anak-anak bahawa pentingnya mereka untuk berbakti kepada alam sekitar.

                   Masyarakat juga mestilah mengikuti perkembangan semasa yang berkaitan dengan kesan pemusnahan alam sekitar. Tambahan pula, mereka kini memperoleh berita lebih pantas di media sosial berbanding surat khabar. Berita-berita tersebut seperti penduduk kehilangan tempat tinggal kerana kejadian tanah runtuh dan masyarakat menghadapi sakit mata akibat jerebu. Berita itu turut diperkukuhkan lagi dengan gambar-gambar tempat bencana dan temu bual bersama mangsa. Secara tidak langsung, masyarakat mengambil iktibar bahawa kejadian buruk yang berlaku berpunca daripada kegiatan manusia sendiri. Manusia tidak boleh mengabaikan penjagaan alam sekitar demi kepentingan diri. Justeru, masyarakat perlulah berusaha mengikuti perkembangan semasa yang berkaitan dengan kesan pemusnahan alam sekitar sebagai salah satu usaha untuk menjaga alam sekitar.
                        Kesimpulannya, usaha menjaga kebersihan rumah sendiri di samping usaha-usaha lain ternyata menjadi penyumbang kepada penjagaan alam sekitar. Oleh itu, pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan hendaklah bekerjasama bagi memastikan rakyat di negara ini prihatin untuk memelihara dan mengekalkan kebersihan alam sekitar kerana alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Jabatan Alam Sekitar mestilah proaktif dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang mencemarkan alam sekitar. Manakala pihak sukarelawan-sukarelawan boleh membantu dengan menjayakan program-program kesedaran alam sekitar di kawasan mereka.  Masyarakat juga mempunyai tugas bagi melaporkan kegiatan merosakkan alam sekitar dengan secepat mungkin. Kita berharap usaha menjaga alam sekitar dilakukan bersungguh-sungguh pada setiap masa dan bukannya hanya dalam bulan sambutan Hari Alam Sekitar.

                         Sekian sahaja ceramah saya pada kali ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment