Wednesday, 25 March 2020

FORMULA MUDAH MENULIS KARANGAN

CONTOH SOALAN:

Sejak kebelakangan ini kes kehilangan kanak-kanak didapati semakin meningkat dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat. Hal ini sering dikaitkan dengan kecuaian ibu bapa. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan di atas?

 Ada 5 Teknik 

  • Teknik Soalan (Tanya isu)
  • Formula - TIPCAK
  • Teknik Huraian
  • Teknik Dawaan 
  • Formula - RAHSIP

UNTUK PENDAHULUAN:

Teknik Soalan

1) Apa punca kes ini berlaku [ISI ]
2) Bagaimana ibu bapa cuai [SEBAB]
3) Apa contoh kecuaian ibu bapa [PERKARA]
4) Bagaimana kanak-kanak boleh hilang [CARA]
5) Siapa yang akan mengambil kesempatan [ORANG]
6) Apa rumusannya [MENEGASKAN ISI]

Formula - TIPCAK 

T - Tajuk karangan
      Buat ayat yg menyatakan tajuk karangan..janganlah copy sejibik

I - Isu semasa
     Kaitkan dgn isu semasa. "Kini, kes tersebut membimbangkan pelbagai pihak kerajaan...."

P - Pendapat kerajaan/tokoh
    
C - Contoh
    - Antara kes yang menggemparkan rakyat negara ini adalah kehilangan adik ...

A - Angka/Data
    - Bahagian Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatakan bahawa terdapat beratus-
       ratus kes kehilangan kanak-kanak pada setiap tahun.

K - Kehendak soalan
    - Walaupun kecuaian ibu bapa merupakan faktor utama kes kehilangan kanak-kanak berlaku,
       namun terdapat juga faktor-faktor lain yang turut menyumbang gejala ini berlaku.

 UNTUK ISI:

Teknik Huraian

A    -  1) Isi penting (ayat topik)
               Kelemahan pihak berkuasa dalam menangani kes kehilangan kanak-kanak juga merupakan
               punca gejala ini semakin berlaku.

          2) Huraian isi (memberi sebab)
          3) Isu semasa   
          4) Huraian isu semasa
          5) Contoh/Bukti
          6) Huraian contoh/bukti

B   -  1) Tajuk karangan

             Ayat persoalan - Mengapakah manusia sanggup menganiaya dan melainkan kanak-kanak  
                                        yang masih kecil?

             Ayat definisi - Kes kehilangan kanak-kanah boleh dimaksudkan sebagai kehilangan kanak-
                                     kanak daripada pihak penjaga samaada melarikan diri ataupun diculik
 
            Ayat pendedahan - Sejak lima tahun kebelakangan ini, kes kehilangan kanak-kanak 
                                           meningkat beberapa kali ganda di negara kita.
 
            Ayat peribahasa - Kes kehilangan kanak-kanak yang berlaku begitu banyak di negara kita,
                                         ibarat luka yang menjadi barah

         2) Isu semasa   (Kini......Sehingga pada hari ini....Akhir-akhir ini....Belakangan ini....Dewasa  
                                   ini...Pada masa ini..)
         3) Pendapat kerajaan/tokoh
         4) Contoh
         5) Angka/Data
         6) Kehendak soalan

C  -  1) Isi penting (ayat topik)
            Sikap masyarakat kita yang kurang prihatin terhadap kes kehilangan kanak-kanak juga 
            menyebabkan gejala ini berleluasa

        2) Menyatakan masalah
            Masyarakat kita lebih mementingkan diri sendiri dan tidak memperdulikan hal yang berlaku 
           di sekeliling mereka.          

        3) Bagi alasan tentang masalah
        4) Kesan daripada masalah
        5) Contoh/Bukti Hurai tentang kesan
        6) Huraian contoh/Kesimpulan kecil


 D - 1) Isi penting (ayat topik)
       2) Ayat dakwaan/tuduhan
           Kanak-kanak mudah dipengaruhi dengan sesuatu yang boleh menarik perhatian mereka, 
           seperti diberi wang, makanan, permainan dan sebagainya.

       3) Ayat sokongan/dakwaan
       4) Bukti dakwaan
       5) Ayat sokongan bukti
       6) Kesimpulan kecil

UNTUK KESIMPULAN
     
 R - Rumusan
 A - Amaran
 H - Harapan
 S - Seruan
 I - Idiom/Peribahasa
 P - Pendapat sendiri


Kredit: En. Badrul Hisham bin Zakaria (SMK DJH. Perlis)



# Tinggalkan apa2 komen ye if post ni membantu korang :)
# Komen korang menceriakan hari saya

Saturday, 28 December 2019

AZAM 2020

Assalamualaikum dan hi para pembaca sekalian! 
 

28.12.2019 (10.23 malam)

Setelah sekian lama tidak menulis, entah kenapa aku rasa cam nak menulis pada malam ni. 
Mungkin disebabkan ini cara aku procrastinate sebab sepatutnya aku study untuk exam yg akan bermula xlama lagi. 
Mungkin juga kerana aku terasa kerinduan yg amat sangat untuk menulis. 
Dan aku tak tahu di mana lagi harus aku luahkan perasaan ini. Acewahh. Hahaaha.

Azam?

Beberapa hari sebelum masuk tahu baru, dalam fikiran kita, pasti dah terlintas...what are my azam for next year?

Ada orang...azamnya nak kurus menjelang tahun baru. Nak diet.
Ada orang....nak jadi lebih baik daripada tahun sebelumnya
Ada orang pula akhirnya berazam nk berhenti jadi single...dan sambung pula pada tahun hadapan. Yg ni memang -_-
 
Dan selalunya azam-azam itu sekadar hangat-hangat tahi ayam (hot hot chichken poop).
Bersemangat bukan main masa minggu yg pertama.
Tinggal kenangan selepas sebulan.

Orang cakap azam ni, terutamanya kalau melibatkan nak mengubah habit yg kurang baik...korang kena cuba ubah habit lama tu selama 21 hari then barulah habit baru yg helok tu kekal.

AZAM KAU APE 2020 NIH?

Aku?

Azam aku yg 

1) Aku nak jadi better version of me
                 Tahun 2019, aku lalai. Aku masih lagi dibuai mimpi, dalam comfort zone, aku belum jumpa something yg buat aku rasa, "yes Athirah. This is it. You have to change". Semua orang ada ego. Ego aku, aku rasa macam aku ni baik dah. Tak perlu aku nk berubah. Aku tahulah ada certain perangai aku yg xberapa ok, tp at least better kot dari org lain. Itu ialah apa yg aku fikirkan. Dan by the time hujung tahun ni baru aku dilanggar dgn  perasaan yg aku kena muhasabah diri. Pemikiran dan sikap aku yg macam tu aku kena ubah. Jadi aku nak bangkit dan jadi lebih baik pada tahun 2020.


2) Unlearn and relearn
               Ilmu yang manusia ada ibarat setitik air di lautan yang luas. Ilmu juga adalah milik Allah SWT. Oleh itu, janganlah sombong bila mempunyai ilmu. Tahun 2020, aku nak aku lebih banyak berkongsi ilmu dan pengalaman yang aku ada dengan orang lain.

               Ada ilmu yg kita belajar sebelum ni dh outdated. Mungkin juga ada selama ni fahaman kita berkaitan sesuatu ilmu itu salah. Jadi aku nak berusaha menambah ilmu yg latest dan memperbetul ilmu yang sedia ada.

3) Love myself
              Aku mengaku tahun 2019 ialah tahun yang paling mencabar kesihatan, emosi dan mental aku. Aku kehilangan 2 kucing yang aku sayang. Geng pencinta kucing pasti mengerti perasaan kehilangan kucing ini bukan perkara yang mudah. Kehilangannya itu pula berpunca daripada kesalahan diri aku sendiri. Aku sentiasa menyalahi diri aku. Marah dengan kebodohan diri sendiri. Aku heartbroken. Tiap kali aku teringat pasti aku nangis. Sehinggakan untuk pertama kali dalam hidup aku, aku terlintas untuk pergi jumpa kaunselor. Ditambah pula dengan kehilangan tok wan aku dan beberapa masalah lain aku hadapi. Sesungguhnya kesakitan yang dirasai aku itu bukan kepalang.

             Di universiti pula, di mana kaum hawa melebihi kaum adam, aku tengok para gadis pandai bergaya. Memilih baju dan pandai bersiap. Aku? Aku baru sahaja memulakan langkah untuk menambah baik penampilan aku berbanding sebelum ini. Sebelum ini aku cuba menggayakan fesyen baju yg berbeza dan bermakeup, ternyata ia lebih buat self-confident aku jatuh. Dan aku cakap, aku taknak teruskan sebab itu bukan diri aku. Self-confident yg aku kumpul mula goyah. Iya aku jahat pada diri sendiri. Menyalahkan diri sendiri kerana tidak cantik. 

           Sebabkan itu, cukuplah. Cukuplah aku dengan pemikiran yang negatif. Aku perlu positif. Aku layak untuk disayangi. Aku layak untuk happy. Aku ialah kawan baik aku sendiri. Walaupun orang lain tinggalkan aku, aku satu-satunya yg the last one stand. Jd i need to support myself. So, plis sayang diri sendiri. Dan pasal cantik tu, aku yakin, the right person will see the real beauty in me. :)


4) Relationship
           Sebagai hamba yang lemah, aku banyak lagi kekurangan dari segi hubungan dengan Pencipta. Tahun 2020 itu aku nak aku berubah, bertambah lebih baik. Aku nak tambah ilmu berkaitan keagamaan.

          Dan topik relationship juga paling hot sejak aku masuk u. Setakat 2019 ni aku still single! Kue kue kue. Ehem! *batuk tipu. Alang2 aku dah lama single ni why not aku terus single sampai aku jumpa my Mr. Right. Hehe. Aku pegang kata-kata Kenal. Not Attach. Jadi sapa2 nak kenal aku, aku okay ja nak kenal2.


5) Redesign bilik
               Last aku update bilik aku a few years ago dan masa tu aku xmatang lagi. Pilih cat pun main ikut suka hati. Buku-buku pula penuh dalam bilik aku. Aku nak kena re-susun balik. Aku harap dengan cat lain dan ubah susun atur perabut lebih menyamai dengan cara pemikiran aku pada masa sekarang. Tahun baru. Jadi aku nak tukar persekitaran yang baru. Ala macam raya la. Kan ada orang sibuk nak beli langsir/ perabot baru.


Yang terakhir n unoffical, aku nak cuba update blog ni..paling koman pun sebulan sekali. Scroll facebook, ig, twitter boleh...tentu boleh tulis di blog ni kan kan kan.

Sekian itu sahaja entri kali ini. Sehingga kita berjumpa lagi penulisan seterusnya. Adios semuaaa...

-NAJ-














 

Thursday, 10 January 2019

APLIKASI SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM BIDANG PERTANIAN (ESEI PA)

Walaupun aplikasi sains dan teknologi telah banyak membawa kemajuan dalam bidang pertanian, namun masih ada golongan petani yang sukar menggunakannya.

Kemajuan Yang Dibawa Oleh Sains Dan Teknologi Dalam Pertanian

- Penggunaan bahan kimian (baja kimia, racun)

- Teknik pengairan dan penyiraman

- Penggunaan Mesin dan Jentera

- Teknik-teknik moden
   

Sebab-sebab Petani Sukar Menggunakannya 

- modal yang tinggi

- kurang pengetahuan

-kurang tenaga mahir

PENGALAMAN TINGGAL IC NAIK KAPAL TERBANG

Alamak.

Tinggal IC.

IC aku ada dngn slip exam.

Dalam pencil box.

Acaner ni.

Pergi KL naik kereta

Jadi memang waktu tu tak perasan yg IC tak bawak.

Bila nak balik dri KL ke Kedah, masa nak book tiket flight tambang murah tu, baru teringat.

Okay. Tenang. Aku tahu korang yang tertinggal mesti menggelabah macam aku. Samalah. Benda nak jadi. Benda boleh setel. Rilek. Ada penyelesaiannnya. Baca cerita ni sampai habis.


Aku tengah fikir alasan apa nk bgtahu mak aku. Dah nak mcm mana. Memang sungguh. Sungguh aku lupa. Aku tahu aku jenis pelupa dan kalut. Dan percutian ke KL ni pun secara mengejut. But still. Oh mak. Matilah nakkk. Mesti kena bebel dgn mak dan kakak aku.

Masa nak book tiket flight tu, aku buat isyarat gerak mulut kat abang aku. "Alamak, Tirah tak bawak :'( ,tolong" (selamatkan adikmu)

Abg aku balas, "Mama, nak naik flight balik boleh, cuma assistant mama ni  xada ic pulak" (sambil muka gelak senyum)

Dipendekkan cerita, aku dh menggelabah teruk, google segala pengalaman tips di blog. Pengalaman ada sesapa yg sama kes dngn aku.

Selamat tiket flight tak burn dan aku selamat lepas dan tiba di Kedah.

Caranya ialah:

1) Kalau di KLIA 2, tingkat 2, di bahagian arrival, ada balai polis PDRM, buat laporat report polis kata tertinggal IC. Kalau sesat tanya je pengawal yg bertugas. Selalu aku nampak diorang di escalator atau tempat tngok map tu. Yg aku jumpa diorang ni friendly. Masa di balai polis tu, nanti pegawai tu akan tanya apa alamat tempat tinggal yg korang stay di KL, dan apa balai polis yang terdekat dengan kawasan tempat tinggal tu.

Make sure, pergi airport awal, dah tahu korang nak buat laporan tu. Jangkamasa proses tu nak selamat aku tulis 15-20 minit. Jadi pandai2 lah korang bajet masa untuk boarding lagi.

2) Seeloknya bawa je la passport jalan2 sekali. Takda IC, xsilap aku, passport pun boleh guna (berdasarkan pengalaman org aku tgok di blog.

ISU PENDERAAN DAN KELALAIAN PENGASUH (ESEI PA)

ESEI PENGAJIAN AM:

Isu-isu penderaan dan kelalaian pengasuh di pusat asuhan kanak-kanak semakin membimbangkan dan menjadi perhatian media. Oleh itu, peranan pelbagai pihak amatlah diperlukan bagi menangani isu tersebut. Jelaskan.

Faktor:

1) Kurang pendedahan dan latihan
- tidak berdaftar dgn Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
- pengasuh yang diambil bekerja tidak mempunyai latihan dan pendedahan dalam penjagaan kanak-kanak
-pengusaha pusat asuhan tidak menghantar pekerja berkursus dan mendapatkan latihan dengan alasan kos yang tinggi

2) Kurang Pemantauan dari Pihak Berkuasa
-Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat kekurangan kakitangan untuk memantau pusat-pusat asuhan kanak-kanak
-Faktor kekurangan kakitangan dan pemantauan pihak berkuasa secara tidak langsung memberi ruang kepada pengasuh pusat asuhan kanak-kanak bersikap tidak bertanggungjawab dan mendera kanak-kanak

3) Masyarakat Kurang Prihatin
-Masyarakat kurang mengamalkan semangat kejiranan dan mengambil tahu keadaan sekeliling
-sibuk mengejar kekayaan khususnya masyarakat di bandar
-tidak peka terhadap keadaan persekitaran memberi ruang kepada pengasuh di pusat asuhan kanak-kanak bertindak sesuka hati.

4) Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak mementingkan keuntungan

 Peranan Pelbagai Pihak:

1) Peranan Kerajaan
- memberi latihan kpd pengasuh dan guru, pendedahan maklumat dan akta berkaitan penjagaan kanak-kanak
- Jabatan Kebajikan Masyarakat hendaklah memantau pusat-pusat yang tidak berdaftar atau tiada lesen.
-mengenakan hukuman yang setimpal kepada pesalah

2) Peranan Ibu Bapa
- berhati-hati dan memilih pusat asuhan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
- peka dengan perubahan anak-anak dari segi fizikal dan emosi

3) Peranan Media
-menyebarkan isu penderaan serta memberi kesedarn kepada masyarakat tentang isu penderaan kanak-kanak di pusat asuhan
- membantu kerajaan dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan yang pantas bagi menangani masalah penderaan kanak-kanak khususnya di pusat asuhan

Tuesday, 9 October 2018

ALAM SEKITAR (ESEI BM)


   CERAMAH
            
                Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Yang dihormati Tuan Jalaini bin Omar, Pengerusi Jabatan Alam Sekitar Kedah; Encik Kasim bin Salleh, ketua penghulu Kampung Borhan, sukarelawan-sukarelawan Kampung Borhan serta tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini. Alam sekitar mempunyai haknya yang tersendiri di samping manusia dan haiwan.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

              Alam sekitar bermaksud kawasan di sekeliling kita yang berlaku secara semulajadi. Pada masa sekarang, alam sekitar diancam oleh kepesatan pembangunan. Pertambahan penduduk mendesak penebangan dilakukan kerana pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan. Mantan Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa kesedaran orang ramai masih belum memuaskan kerana aktiviti pembangunan dijalankan tidak seiring dengan usaha melestarikan alam sekitar. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk menjaga alam sekitar di negara ini?

              Salah satu  usaha bagi menjaga alam sekitar termasuklah masyarakat berperanan menjaga kebersihan rumah sendiri. Pembersihan rumah akan lebih baik jika dilakukan secara rutin oleh anggota keluarga. Misalnya, ada anggota keluarga ditugaskan mengutip dan membuang daun-daun kering yang berguguran di sekeliling kawasan rumah pada setiap hujung minggu. Tindakan tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan parit-parit daripada tersumbat dan banjir dapat dihindarkan. Manakala sebahagian ahli keluarga yang lain bertanggungjawab menyapu sampah dan mengelap tingkap. Oleh itu, amalan membersihan rumah sendiri dapat menyumbang kepada usaha-usaha untuk menjaga alam sekitar.

                Di samping itu, kita perlulah mengadakan aktiviti riadah yang bersifat mesra alam. Aktiviti  berbasikal, berjoging , bermain bola dan  badminton merupakan antara aktiviti sukan yang dilakukan di luar rumah. Aktiviti-aktiviti di luar rumah mampu mendekatkan jiwa seseorang dengan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita dapat beriadah sambil menikmati pemandangan alam sekitar yang menenangkan. Kita akan semakin menyayangi alam sekitar dan terdorong untuk memeliharanya daripada tercemar. Di taman permainan, kita boleh membantu mengutip cebisan sampah dan botol plastik  walaupun sedang berjoging. Jelaslah bahawa penjagaan alam sekitar dapat dilakukan melalui aktiviti riadah yang bersifat mesra alam.

Hadirin dan hadirat,

                    Seterusnya, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak supaya sentiasa mengamalkan kebersihan. Didikan ibu bapa yang berkesan akan menjadi amalan anak-anak sehingga mereka dewasa kelak. Sebagai contoh,  ibu bapa haruslah mengajar anak-anak untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Pengajaran tersebut perlulah disertakan dengan penjelasan oleh ibu bapa. Ibu bapa boleh menjelaskan bahawa tindakan membuang sampah merata-rata akan mengakibatkan timbunan sampah sarap yang akhirnya mencemarkan alam sekitar. Didikan yang berkesan akan menyuntik kesedaran kepada anak-anak bahawa pentingnya mereka untuk berbakti kepada alam sekitar.

                   Masyarakat juga mestilah mengikuti perkembangan semasa yang berkaitan dengan kesan pemusnahan alam sekitar. Tambahan pula, mereka kini memperoleh berita lebih pantas di media sosial berbanding surat khabar. Berita-berita tersebut seperti penduduk kehilangan tempat tinggal kerana kejadian tanah runtuh dan masyarakat menghadapi sakit mata akibat jerebu. Berita itu turut diperkukuhkan lagi dengan gambar-gambar tempat bencana dan temu bual bersama mangsa. Secara tidak langsung, masyarakat mengambil iktibar bahawa kejadian buruk yang berlaku berpunca daripada kegiatan manusia sendiri. Manusia tidak boleh mengabaikan penjagaan alam sekitar demi kepentingan diri. Justeru, masyarakat perlulah berusaha mengikuti perkembangan semasa yang berkaitan dengan kesan pemusnahan alam sekitar sebagai salah satu usaha untuk menjaga alam sekitar.
                        Kesimpulannya, usaha menjaga kebersihan rumah sendiri di samping usaha-usaha lain ternyata menjadi penyumbang kepada penjagaan alam sekitar. Oleh itu, pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan hendaklah bekerjasama bagi memastikan rakyat di negara ini prihatin untuk memelihara dan mengekalkan kebersihan alam sekitar kerana alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Jabatan Alam Sekitar mestilah proaktif dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang mencemarkan alam sekitar. Manakala pihak sukarelawan-sukarelawan boleh membantu dengan menjayakan program-program kesedaran alam sekitar di kawasan mereka.  Masyarakat juga mempunyai tugas bagi melaporkan kegiatan merosakkan alam sekitar dengan secepat mungkin. Kita berharap usaha menjaga alam sekitar dilakukan bersungguh-sungguh pada setiap masa dan bukannya hanya dalam bulan sambutan Hari Alam Sekitar.

                         Sekian sahaja ceramah saya pada kali ini. Terima kasih.

Monday, 8 October 2018

MALAYSIA DESTINASI PELANCONGAN (ESEI BM)


 SYARAHAN

            Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Encik Badrunsham bin Dahalan; Pegawai Pendidikan Daerah Alor Setar, Yang Arif panel hakim yang bijaksana, guru-guru, para pelajar dan hadirin sekalian. Pada pagi ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Malaysia Destinasi Pelancongan”.

            Malaysia merupakan sebuah negara yang menjadi sebutan dalam dunia pelancongan. Masyarakat dunia mengagumi keunikan dan keistimewaan negara ini. Malaysia juga terkenal dengan destinasi hub halal dan menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Malaysia mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang boleh dikomersialkan. Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah menaik taraf pelancongan yang berorientasikan kebudayaan, kesihatan, sukan dan rekreasi untuk menarik lebih ramai kemasukan pelancong dari luar negara. Persoalannya, apakah faktor-faktor Malaysia menjadi destinasi pelancongan?

Tuan-tuan dan puan-puan,

             Malaysia menjadi destinasi pelancongan kerana Malaysia mempunyai tempat yang menarik untuk dikunjungi.  Kebiasaanya, pelancong sering berkunjung  ke pulau-pulau percutian seperti Pulau Kapas, Pulau Tioman dan Pulau Redang. Keindahan dan kedamaian pulau-pulau tersebut memberi ketenangan kepada pelancong. Sebagai contoh, Pulau Kapas di Terengganu mempunyai pantai yang sangat cantik. Air lautnya jernih dan pasirnya berwarna putih seperti kapas dan mempunyai pelbagai hidupan laut. Pelancong tertarik untuk ke Pulau Kapas kerana mereka ingin keluar dari kesibukan dan hiruk-pikuk kotaraya. Para pelancong juga selesa untuk membawa anak-anak kerana terdapat aktiviti sukan seperti menyelam dan berkayak yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga.

            Selain itu, keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum merupakan salah satu faktor Malaysia menjadi destinasi pelancongan. Malaysia mempunyai pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan bumiputera lain yang wujud di Sabah dan Sarawak. Namun, perbezaan amalan keagamaan, pakaian, makanan mahupun cara berhibur tidak menjadi penghalang untuk semua kaum hidup dengan harmoni. Misalnya, masyarakat Melayu biasanya terkenal dengan pakaian tradisional baju kurung dan kaum-kaum yang lain boleh memakainya jika mereka mahu.. Keadaan ini menunjukkan kepelbagaian kita berjaya menyatukan kita untuk menerima budaya dan amalan kaum yang lain. Jadi, sikap rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati setiap kaum menjadikan Malaysia istimewa di mata para pelancong.
           
             Seterusnya, faktor Malaysia menjadi destinasi pelancongan termasuklah Malaysia mempunyai pelbagai prasarana. Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi membangunkan kemudahan demi keselesaan para pelancong. Kerajaan sedar bahawa pelaburan dalam industri pelancongan dapat memberikan keuntungan kepada ekonomi negara. Kerajaan telah membina jaringan lebuh raya dan dan rel seperti sistem transit aliran ringan, komuter dan monorel bagi memudahkan mobiliti para pelancong. Pelancong dapat mengunjungi tempat-tempat menarik di dalam Malaysia dengan lebih mudah dan menjimatkan masa. Manakala kerajaan juga menyediakan kemudahan hentian Rehat dan Rawat untuk kemudahan pelancong berhenti rehat sepanjang percutian mereka.

              Keramahan dan kemesraan rakyat negara ini turut menyumbang kepada faktor-faktor Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Pelancong dapat merasai kemesraan rakyat terutamanya dari segi layanan dan perkhidmatan.  Masyarakat memberikan layanan yang sama tanpa mengira pelancong asing atau pelancong tempatan. Sebagai contoh, pekerja hotel menolong pelancong jika mereka menghadapi masalah dari aspek pengangkutan. Pekerja hotel bersikap sabar dan bertindak menyelesaian masalah pengangkutan dengan segera supaya pelancong dapat menikmati percutiannya. Tambahan pula, sikap pramugara dan pramugari syarikat penerbangan menunjukkan impresi pertama kemesraan rakyat sesebuah negara kepada pelancong. Jelaslah bahawa sikap masyarakat yang ramah dan mesra telah mendorong kedatangan pelancong untuk berkunjung ke Malaysia.

                Kesimpulannya, faktor Malaysia mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi di samping faktor-faktor lain ternyata menjadi penyumbang kepada Malaysia menjadi destinasi pelancongan. Para pelancong bersetuju bahawa Malaysia perlu dimasukkan dalam jadual pelancongan mereka. Oleh itu, pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan hendaklah bekerjasama bagi memelihara semua daya tarikan dalam negara. Kita berharap kedatangan pelancong asing ke negara kita semakin bertambah dari tahun ke tahun. Peniaga-peniaga di negara ini juga hendaklah jujur dalam urusan jual beli. Mereka dilarang mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang lebih mahal kepada pelancong. Semoga melalui keprihatinan dan sikap penduduk Malaysia yang baik, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk dikunjungi. 

Sekian, terima kasih.

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN KOS SARA HIDUP (BM)


UCAPAN

            Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia  Datuk Dr. Marimuthu Nadason; Presiden Persatuan Pengguna Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Haji Yusoff bin Haji Ismail; Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah,   ahli-ahli Persatuan Pengguna Kedah serta tuan-tuan dan puan-puan. Pelancaran Kempen Cakna Jimat bertujuan menekankan peranan semua pihak dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.

Hadirin hadirat sekalian,

          Masyarakat mengalami peningkatan kos sara hidup apabila berlaku peningkatan harga barangan melebihi peningkatan pendapatan. Masyarakat terpaksa meningkatkan perbelanjaan harian kerana harga barang asas turut meningkat.  Walaupun pendapatan individu meningkat, masyarakat terpaksa menurunkan taraf perbelanjaan dengan menggunakan barangan dan perkhidmatan yang lebih rendah kualitinya. Kenaikan kos sara hidup menyebabkan jumlah golongan miskin luar bandar meningkat kerana jurang pendapatan begitu ketara berbanding masyarakat di bandar. Golongan miskin paling terkesan akibat peningkatan kos ini selain golongan berpendapatan rendah. Sehubungan dengan itu, semua pihak berperanan dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.
             
           Sebagai pengguna, kita berperanan mengubah gaya hidup yang bersesuaian dengan kenaikan kos sara hidup. Segala perbelanjaan yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.  Kita perlulah bijak membezakan antara barang keperluan dan barang kehendak. Misalnya, kita mengutamakan pembelian makanan, pakaian dan tempat tinggal kerana barangan tersebut diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Kita dapat membuat peruntukkan kewangan berkaitan perbelanjaan yang harus dikeluarkan bagi membeli makanan mahupun membayar sewa rumah. Apabila kita merancang perbelanjaan, kita dapat menjimatkan sebahagian besar daripada jumlah pendapatan bulanan. Lebihan wang yang ada boleh disimpan untuk kegunaan pada masa depan.

             Salah satu peranan peniaga dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup termasuklah peniaga mengamalkan prinsip beretika dan amanah ketika berniaga. Menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010, peniaga tidak boleh mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati bagi  memperoleh keuntungan yang lumayan. Peniaga mestilah meletakkan harga yang bersesuaian untuk barang jualan mereka. Sebagai contoh,  peniaga meletakkan harga yang masih mampu dibeli oleh semua orang untuk pembelian daging ayam dan ikan walaupun pada musim perayaan. Peniaga dapat membantu mengurangkan beban rakyat kerana rakyat tidak perlu membayar harga yang mahal untuk mendapatkan bahan mentah.  Jelaslah bahawa peranan peniaga untuk mengamalkan prinsip beretika dan amanah menyumbang dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.

               Pekerja juga berperanan mempunyai kehidupan yang tidak dikelilingi hutang dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup. Ada pekerja yang sanggup berhutang kad kredit semata-mata ingin membeli barangan berjenama. Pekerja tersebut ingin menunjukkan gaya hidup mewah yang dimilikinya terhadap rakan sekerja. Oleh sebab itu, pekerja-pekerja digalakkan menggunakan tunai apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah. Tindakan ini dapat mendisiplinkan pekerja supaya mengumpul duit terlebih dahulu jika ingin membeli barang yang diinginkan. Pekerja haruslah berjimat cermat kerana pendapatan bulanan pekerja tidak mengalami peningkatan yang mendadak seperti peningkatan harga barang. Jadi pekerja-pekerja berperanan mengawal diri daripada terperangkap dengan bebanan hutang dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.

                Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan berperanan melakukan pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas dalam usaha untuk membendung kenaikan kos sara hidup. Sebagai contoh, pegawai kementerian tersebut mengadakan lawatan mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan berniaga yang telah ditetapkan. Mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati akan dikenakan kompaun dan lesen perniagaannya boleh ditarik balik. Peniaga-peniaga akan sentiasa berwaspada dan berasa serik untuk menaikkan harga barangan atau menyorokkan bekalan makanan sesuka hati. Keadaan ini akan meningkatkan kuasa beli rakyat. Justeru, pihak kerajaan perlulah memainkan peranan proaktif bagi melakukan pemantauan dan mengambil tindakan kawalan supaya kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan.

                Kesimpulannya, kenaikan kos sara hidup telah menyusahkan banyak pihak terutamanya rakyat. Masyarakat perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk melakukan peranan masing-masing. Pemimpin hendaklah menggunakan kuasanya untuk memastikan kos sara hidup rakyat tidak meningkat. Pemimpin dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh golongan miskin dan berpendapatan rendah. Peniaga juga dilarang menyalahgunakan keadaan semasa bagi mengaut keuntungan. Semoga kerjasama daripada semua akan membuahkan hasil apabila keadaan peningkatan kos sara hidup tidak berlarutan.
Sekian sahaja ucapan saya, terima kasih.