CERAMAH
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Yang dihormati Tuan Jalaini bin Omar, Pengerusi Jabatan Alam Sekitar Kedah;
Encik Kasim bin Salleh, ketua penghulu Kampung Borhan, sukarelawan-sukarelawan
Kampung Borhan serta tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini. Alam
sekitar mempunyai haknya yang tersendiri di samping manusia dan haiwan.
Hadirin
dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Alam sekitar bermaksud kawasan di
sekeliling kita yang berlaku secara
semulajadi. Pada masa sekarang, alam sekitar diancam oleh kepesatan
pembangunan. Pertambahan penduduk mendesak penebangan dilakukan kerana pembukaan kawasan bandar baru,
industri dan kawasan perumahan. Mantan Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa
kesedaran orang ramai masih belum memuaskan kerana aktiviti pembangunan
dijalankan tidak seiring dengan usaha melestarikan alam sekitar. Persoalannya,
apakah usaha-usaha yang boleh kita
lakukan untuk menjaga alam sekitar di negara ini?
Salah satu usaha bagi
menjaga alam sekitar termasuklah masyarakat berperanan menjaga kebersihan rumah
sendiri. Pembersihan rumah akan lebih baik jika dilakukan secara rutin oleh
anggota keluarga. Misalnya, ada anggota keluarga ditugaskan mengutip dan
membuang daun-daun kering yang berguguran di sekeliling kawasan rumah pada
setiap hujung minggu. Tindakan tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan
parit-parit daripada tersumbat dan banjir dapat dihindarkan. Manakala
sebahagian ahli keluarga yang lain
bertanggungjawab menyapu sampah dan mengelap tingkap. Oleh itu, amalan membersihan
rumah sendiri dapat menyumbang kepada usaha-usaha untuk menjaga alam sekitar.
Di samping itu, kita perlulah mengadakan
aktiviti riadah yang bersifat mesra
alam. Aktiviti berbasikal, berjoging ,
bermain bola dan badminton merupakan antara
aktiviti sukan yang dilakukan di
luar rumah. Aktiviti-aktiviti di luar rumah mampu mendekatkan jiwa seseorang
dengan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita dapat beriadah
sambil menikmati pemandangan alam sekitar yang menenangkan. Kita akan semakin
menyayangi alam sekitar dan terdorong untuk
memeliharanya daripada tercemar. Di taman permainan, kita boleh membantu
mengutip cebisan sampah dan botol plastik walaupun sedang berjoging. Jelaslah bahawa penjagaan
alam sekitar dapat dilakukan melalui aktiviti riadah yang bersifat mesra alam.
Hadirin
dan hadirat,
Seterusnya, ibu bapa
berperanan mendidik anak-anak supaya sentiasa mengamalkan kebersihan. Didikan
ibu bapa yang berkesan akan menjadi amalan anak-anak sehingga mereka dewasa
kelak. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah
mengajar anak-anak untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Pengajaran tersebut perlulah disertakan dengan
penjelasan oleh ibu bapa. Ibu bapa boleh menjelaskan bahawa tindakan membuang
sampah merata-rata akan mengakibatkan timbunan sampah sarap yang akhirnya mencemarkan alam sekitar.
Didikan yang berkesan akan menyuntik
kesedaran kepada anak-anak bahawa pentingnya mereka untuk berbakti kepada alam
sekitar.
Masyarakat juga mestilah mengikuti
perkembangan semasa yang berkaitan dengan kesan
pemusnahan alam sekitar. Tambahan pula, mereka kini memperoleh berita lebih
pantas di media sosial berbanding surat khabar. Berita-berita tersebut seperti penduduk
kehilangan tempat tinggal kerana kejadian tanah runtuh dan masyarakat
menghadapi sakit mata akibat jerebu. Berita itu turut diperkukuhkan lagi dengan
gambar-gambar tempat bencana dan temu bual bersama mangsa. Secara tidak
langsung, masyarakat mengambil iktibar bahawa kejadian buruk yang berlaku berpunca
daripada kegiatan manusia sendiri. Manusia tidak boleh mengabaikan penjagaan
alam sekitar demi kepentingan diri. Justeru, masyarakat perlulah berusaha mengikuti
perkembangan semasa yang berkaitan dengan kesan pemusnahan alam sekitar sebagai
salah satu usaha untuk menjaga alam sekitar.
Kesimpulannya, usaha menjaga kebersihan
rumah sendiri di samping usaha-usaha lain ternyata menjadi penyumbang kepada
penjagaan alam sekitar. Oleh itu, pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan
hendaklah bekerjasama bagi memastikan rakyat di negara ini prihatin untuk
memelihara dan mengekalkan kebersihan alam sekitar kerana alam sekitar
merupakan tanggungjawab bersama. Jabatan Alam Sekitar mestilah proaktif dalam
membanteras kegiatan-kegiatan yang mencemarkan alam sekitar. Manakala pihak
sukarelawan-sukarelawan boleh membantu dengan menjayakan program-program
kesedaran alam sekitar di kawasan mereka.
Masyarakat juga mempunyai tugas bagi melaporkan kegiatan merosakkan alam
sekitar dengan secepat mungkin. Kita berharap usaha menjaga alam sekitar
dilakukan bersungguh-sungguh pada setiap masa dan bukannya hanya dalam bulan
sambutan Hari Alam Sekitar.
Sekian sahaja ceramah
saya pada kali ini. Terima kasih.