Monday, 8 October 2018

MALAYSIA DESTINASI PELANCONGAN (ESEI BM)


 SYARAHAN

            Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Encik Badrunsham bin Dahalan; Pegawai Pendidikan Daerah Alor Setar, Yang Arif panel hakim yang bijaksana, guru-guru, para pelajar dan hadirin sekalian. Pada pagi ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Malaysia Destinasi Pelancongan”.

            Malaysia merupakan sebuah negara yang menjadi sebutan dalam dunia pelancongan. Masyarakat dunia mengagumi keunikan dan keistimewaan negara ini. Malaysia juga terkenal dengan destinasi hub halal dan menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Malaysia mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang boleh dikomersialkan. Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah menaik taraf pelancongan yang berorientasikan kebudayaan, kesihatan, sukan dan rekreasi untuk menarik lebih ramai kemasukan pelancong dari luar negara. Persoalannya, apakah faktor-faktor Malaysia menjadi destinasi pelancongan?

Tuan-tuan dan puan-puan,

             Malaysia menjadi destinasi pelancongan kerana Malaysia mempunyai tempat yang menarik untuk dikunjungi.  Kebiasaanya, pelancong sering berkunjung  ke pulau-pulau percutian seperti Pulau Kapas, Pulau Tioman dan Pulau Redang. Keindahan dan kedamaian pulau-pulau tersebut memberi ketenangan kepada pelancong. Sebagai contoh, Pulau Kapas di Terengganu mempunyai pantai yang sangat cantik. Air lautnya jernih dan pasirnya berwarna putih seperti kapas dan mempunyai pelbagai hidupan laut. Pelancong tertarik untuk ke Pulau Kapas kerana mereka ingin keluar dari kesibukan dan hiruk-pikuk kotaraya. Para pelancong juga selesa untuk membawa anak-anak kerana terdapat aktiviti sukan seperti menyelam dan berkayak yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga.

            Selain itu, keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum merupakan salah satu faktor Malaysia menjadi destinasi pelancongan. Malaysia mempunyai pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan bumiputera lain yang wujud di Sabah dan Sarawak. Namun, perbezaan amalan keagamaan, pakaian, makanan mahupun cara berhibur tidak menjadi penghalang untuk semua kaum hidup dengan harmoni. Misalnya, masyarakat Melayu biasanya terkenal dengan pakaian tradisional baju kurung dan kaum-kaum yang lain boleh memakainya jika mereka mahu.. Keadaan ini menunjukkan kepelbagaian kita berjaya menyatukan kita untuk menerima budaya dan amalan kaum yang lain. Jadi, sikap rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati setiap kaum menjadikan Malaysia istimewa di mata para pelancong.
           
             Seterusnya, faktor Malaysia menjadi destinasi pelancongan termasuklah Malaysia mempunyai pelbagai prasarana. Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi membangunkan kemudahan demi keselesaan para pelancong. Kerajaan sedar bahawa pelaburan dalam industri pelancongan dapat memberikan keuntungan kepada ekonomi negara. Kerajaan telah membina jaringan lebuh raya dan dan rel seperti sistem transit aliran ringan, komuter dan monorel bagi memudahkan mobiliti para pelancong. Pelancong dapat mengunjungi tempat-tempat menarik di dalam Malaysia dengan lebih mudah dan menjimatkan masa. Manakala kerajaan juga menyediakan kemudahan hentian Rehat dan Rawat untuk kemudahan pelancong berhenti rehat sepanjang percutian mereka.

              Keramahan dan kemesraan rakyat negara ini turut menyumbang kepada faktor-faktor Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Pelancong dapat merasai kemesraan rakyat terutamanya dari segi layanan dan perkhidmatan.  Masyarakat memberikan layanan yang sama tanpa mengira pelancong asing atau pelancong tempatan. Sebagai contoh, pekerja hotel menolong pelancong jika mereka menghadapi masalah dari aspek pengangkutan. Pekerja hotel bersikap sabar dan bertindak menyelesaian masalah pengangkutan dengan segera supaya pelancong dapat menikmati percutiannya. Tambahan pula, sikap pramugara dan pramugari syarikat penerbangan menunjukkan impresi pertama kemesraan rakyat sesebuah negara kepada pelancong. Jelaslah bahawa sikap masyarakat yang ramah dan mesra telah mendorong kedatangan pelancong untuk berkunjung ke Malaysia.

                Kesimpulannya, faktor Malaysia mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi di samping faktor-faktor lain ternyata menjadi penyumbang kepada Malaysia menjadi destinasi pelancongan. Para pelancong bersetuju bahawa Malaysia perlu dimasukkan dalam jadual pelancongan mereka. Oleh itu, pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan hendaklah bekerjasama bagi memelihara semua daya tarikan dalam negara. Kita berharap kedatangan pelancong asing ke negara kita semakin bertambah dari tahun ke tahun. Peniaga-peniaga di negara ini juga hendaklah jujur dalam urusan jual beli. Mereka dilarang mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang lebih mahal kepada pelancong. Semoga melalui keprihatinan dan sikap penduduk Malaysia yang baik, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk dikunjungi. 

Sekian, terima kasih.

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN KOS SARA HIDUP (BM)


UCAPAN

            Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia  Datuk Dr. Marimuthu Nadason; Presiden Persatuan Pengguna Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Haji Yusoff bin Haji Ismail; Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah,   ahli-ahli Persatuan Pengguna Kedah serta tuan-tuan dan puan-puan. Pelancaran Kempen Cakna Jimat bertujuan menekankan peranan semua pihak dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.

Hadirin hadirat sekalian,

          Masyarakat mengalami peningkatan kos sara hidup apabila berlaku peningkatan harga barangan melebihi peningkatan pendapatan. Masyarakat terpaksa meningkatkan perbelanjaan harian kerana harga barang asas turut meningkat.  Walaupun pendapatan individu meningkat, masyarakat terpaksa menurunkan taraf perbelanjaan dengan menggunakan barangan dan perkhidmatan yang lebih rendah kualitinya. Kenaikan kos sara hidup menyebabkan jumlah golongan miskin luar bandar meningkat kerana jurang pendapatan begitu ketara berbanding masyarakat di bandar. Golongan miskin paling terkesan akibat peningkatan kos ini selain golongan berpendapatan rendah. Sehubungan dengan itu, semua pihak berperanan dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.
             
           Sebagai pengguna, kita berperanan mengubah gaya hidup yang bersesuaian dengan kenaikan kos sara hidup. Segala perbelanjaan yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.  Kita perlulah bijak membezakan antara barang keperluan dan barang kehendak. Misalnya, kita mengutamakan pembelian makanan, pakaian dan tempat tinggal kerana barangan tersebut diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Kita dapat membuat peruntukkan kewangan berkaitan perbelanjaan yang harus dikeluarkan bagi membeli makanan mahupun membayar sewa rumah. Apabila kita merancang perbelanjaan, kita dapat menjimatkan sebahagian besar daripada jumlah pendapatan bulanan. Lebihan wang yang ada boleh disimpan untuk kegunaan pada masa depan.

             Salah satu peranan peniaga dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup termasuklah peniaga mengamalkan prinsip beretika dan amanah ketika berniaga. Menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010, peniaga tidak boleh mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati bagi  memperoleh keuntungan yang lumayan. Peniaga mestilah meletakkan harga yang bersesuaian untuk barang jualan mereka. Sebagai contoh,  peniaga meletakkan harga yang masih mampu dibeli oleh semua orang untuk pembelian daging ayam dan ikan walaupun pada musim perayaan. Peniaga dapat membantu mengurangkan beban rakyat kerana rakyat tidak perlu membayar harga yang mahal untuk mendapatkan bahan mentah.  Jelaslah bahawa peranan peniaga untuk mengamalkan prinsip beretika dan amanah menyumbang dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.

               Pekerja juga berperanan mempunyai kehidupan yang tidak dikelilingi hutang dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup. Ada pekerja yang sanggup berhutang kad kredit semata-mata ingin membeli barangan berjenama. Pekerja tersebut ingin menunjukkan gaya hidup mewah yang dimilikinya terhadap rakan sekerja. Oleh sebab itu, pekerja-pekerja digalakkan menggunakan tunai apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah. Tindakan ini dapat mendisiplinkan pekerja supaya mengumpul duit terlebih dahulu jika ingin membeli barang yang diinginkan. Pekerja haruslah berjimat cermat kerana pendapatan bulanan pekerja tidak mengalami peningkatan yang mendadak seperti peningkatan harga barang. Jadi pekerja-pekerja berperanan mengawal diri daripada terperangkap dengan bebanan hutang dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup.

                Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan berperanan melakukan pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas dalam usaha untuk membendung kenaikan kos sara hidup. Sebagai contoh, pegawai kementerian tersebut mengadakan lawatan mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan berniaga yang telah ditetapkan. Mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati akan dikenakan kompaun dan lesen perniagaannya boleh ditarik balik. Peniaga-peniaga akan sentiasa berwaspada dan berasa serik untuk menaikkan harga barangan atau menyorokkan bekalan makanan sesuka hati. Keadaan ini akan meningkatkan kuasa beli rakyat. Justeru, pihak kerajaan perlulah memainkan peranan proaktif bagi melakukan pemantauan dan mengambil tindakan kawalan supaya kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan.

                Kesimpulannya, kenaikan kos sara hidup telah menyusahkan banyak pihak terutamanya rakyat. Masyarakat perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk melakukan peranan masing-masing. Pemimpin hendaklah menggunakan kuasanya untuk memastikan kos sara hidup rakyat tidak meningkat. Pemimpin dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh golongan miskin dan berpendapatan rendah. Peniaga juga dilarang menyalahgunakan keadaan semasa bagi mengaut keuntungan. Semoga kerjasama daripada semua akan membuahkan hasil apabila keadaan peningkatan kos sara hidup tidak berlarutan.
Sekian sahaja ucapan saya, terima kasih.






PANDUAN ESEI BM


PANDUAN MENJAWAB KARANGAN

1) Wajib tulis soalan dan tarikh

2) Melebihi 600 patah perkataan (esei stpm)

3) Mesti lihat panduan yang cikgu bagi setiap kali nak buat karangan

4) Berhati-hati dalam penggunaan ialan / adalah         (Sekali buat salah, cikgu denda RM5)

              Adalah      =                  kata sendi nama atau adjektif

5) “…… biasanya berpunca daripada ….. [Ganti perkataan lain kalau takut salah]

6) Masalah ini adalah disebabkan    (ayat ni salah)

7) Kalau soalan tanya bersetuju, jangan tulis

                                     Melalui pendapat ini, saya bersetuju …… (binalah ayat yang matang)

                                     Misalnya, pendapat ini didapati benar…

8) Jangan bagi langkah jika soalan tanya sebab.

9) Hanya dalam kesimpulan, langkah boleh ditulis.

10) Jangan bina ayat tergantung. (Wajib ada SUBJEK + PREDIKAT)

11) Kebanyakan pemeriksa tidak suka memeriksa esei penggal 1, oleh itu, jagalah mood pemeriksa.Tulisan biar kemas dan jelas.

12) Jangan tulis “Akhir sekali,…..” untuk isi terakhir.

13) Perkataan “kini” sudah menerangkan perkataan “masa kini” (Jadi cuma tulis kini)

14) Contoh boleh reka tapi biarlah logic

·         Pandangan tokoh

·         Kerajaan

·         Media massa atau sesiapa yang berkaitan

15) JUSTERU = MALAHAN. Jadi jangan samakan justeru dengan oleh itu.

16) Jangan tulis bilangan patah perkataan pada tepi setiap isi.

17) Jangan melakukan kesilapan ejaan.

18) Permulaan karangan macam ucapan, elakkan tulis salam. (sebab apa....err aku xingt sbb apa) 

PENDERAAN KANAK-KANAK (ESEI PA)


PUNCA DAN KESAN

           Penderaan kanak-kanak merujuk kepada penderaan secara fizikal, emosi, seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak. Laporan media tempatan mengatakan terdapat hampir 1,500 kes dera berlaku di Malaysia sejak Januari sehingga Jun 2016. Persoalannya, mengapa kes penderaan kanak-kanak masih sukar dibendung dan apakah kesan kepada mangsa dan keluarga?

       Salah satu punca kes penderaan kanak-kanak sukar dibendung termasuklah masalah kekeluargaan seperti  krisis kewangan. Perbelanjaan anak-anak dianggap membebankan lagi masalah mereka. Masalah rumah tangga yang tercetus menyebabkan ibu bapa hilang kewarasan akibat tekanan emosi . Tanpa pertimbangan yang wajar mereka menjadikan si kecil sebagai tempat untuk melepaskan perasaan geram mereka.

          Selain itu, latar belakang keluarga asal yang dibesarkan dengan kekerasan menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak. Ibu bapa yang berasal daripada keluarga yang tegas beranggapan kekerasan ialah cara terbaik untuk mengasuh kanak-kanak.  Ibu bapa memukul anak-anak yang melakukan kesalahan dan tidak memberitahu alasan mengapa mereka diperlakukan sedemikian.  Apabila mereka berkeluarga nanti, mereka  akan turut  membesarkan anak-anak mereka sebagaimana cara mereka dibesarkan dahulu.

          Kesan kepada mangsa penderaan kanak-kanak termasuklah mereka  menjadi pengecut dan tidak berani untuk menghadapi cabaran hidup. Pada masa kecil, ibu bapa telah menengking dan memukul dengan kasar setiap kali mereka melakukan kesalahan.  Kesakitan pada badan dan fikiran yang ibu bapa tidak menyayangi mereka meninggalkan trauma kepada kanak-kanak. Apabila dewasa, mereka enggan mencuba perkara baharu kerana takut disakiti.

          Seterusnya, kesan penderaan kanak-kanak telah menyebabkan kanak-kanak hilang kepercayaan terhadap orang dewasa. Kanak-kanak mempercayai bahawa ibu bapa bertanggungjawab melindungi dan memberikan kasih sayang kepada mereka. Kepercayaan mereka dikhianati setelah ibu bapa sendiri mendera mereka. Sebagai contoh, anak-anak menjadi mangsa tending dan terajang walaupun kesalahn yang dilakukan amat kecil.

           Kesan negatif yang dirasai oleh kanak-kanak yang didera ialah kecederaan pada anggota fizikal mereka. Luka di kepala, badan dan muka akan memberi kesan yang tidak baik khususnya terhadap masa depan mereka apabila meningkat dewasa. Kecacatan fizikal yang serius boleh berlaku. Misalnya, ibu bapa memukul badan anaknya sehingga tulang belakang patah dan tempang akan menyusahkannya untuk pergi menuntut ilmu.

          Jelaslah semua pihak hendaklah mengambil serius kes penderaan kanak-kanak dan bertindak menanganinya. Kanak-kanaklah pewaris negara yang bakal memaju kemajuan negara.